Dalam catatan masa berlalu, hari-hari yang dilalui tetap sama. Tiada apa yang berubah. Cuma emosi sahaja yang bertukar mengikut situasi setempat. Jika gembira, gembiralah dia. Jika ketawa, ketawalah dia. Jika menangis, menangislah dia. Jika bersedih, simpanlah kau dalam hati bersendirian. Hanya yang memahami saja turut mendalami naluri sanubari dirimu.
Dalam kejauhan isi rumah itu, aku tahu ada yang belum makan. Ada yang sedang bertahan melawan asid perut yang tidak tahu untuk menghadam isi perut apa lagi. Masing-masing menunjukkan muka yang tabah dan senyum yang sabar. Kerana mereka tahu, ketua keluarga tidak mampu untuk memberi makan pada hari ini.
Seperti biasa, si sulung pergi ke belakang rumah untuk mencedok air perigi yang jarang-jarang isi airnya bertambah. Kemarau sedang melanda. Harapkan aliran anak sungai, takut terkena virus penyakit yang macam-macam muncul pada zaman sekarang. Manusia terlalu sibuk bertambah alpa sehingga terlupa untuk menjaga kebersihan bersama. Sedangkan sungai adalah kepentingan bersama bukan perlu menuding jari untuk menyalahkan pihak yang berwajib saja.
Hampa… air perigi sudah kering. Bagaimana mahu merebus ubi keledek sebagai santapan pagi. Ya, hanya ubi keledek sebagai pengikat perut kami pada pagi ini. Tiada ayam goreng, tiada nasi goreng, tiada apa-apa yang mahal, cukup sekadar apa yang ada di hadapan mata.
Tawakal… guna sajalah air sungai di hujung perigi tersebut. Semoga tiada apa-apa penyakit berjangkit berlaku nanti. Akan dia guna sistem penurasan sendiri di dapur untuk menapis cedokan air dalam baldinya tadi menggunakan batu-batu kerikil yang bersih untuk menapisnya.
Adik-adik sudah siap mengisi perut masing-masing tanpa banyak bercakap. Mungkin sudah lali dengan kehidupan sebegitu.
Si ayah seperti biasa, pergi ke pasar tani untuk menjual hasil-hasil tanaman hijau di belakang rumah. Duduk menanti pelanggan yang tiada kunjung tiba. Kerana bajunya yang lusuh kah sehinggakan tiada pelanggan yang mahu mendekatinya. Bukan hari-hari si ayah akan ke pasar tani untuk menjual, lihat kepada hasil yang mendatang. Kadang-kadang pergi duduk di sebelah gerai rakan baiknya untuk mengambil upah menjual. Hanya upah. Bukan pendapatan aliran harian mahupun bulanan sendiri. Mujur rakan baiknya wujud untuk perantaraan meneruskan hidup atau terus rebah dalam hidup ini.
Si emak, hanya mampu terlantar baring atas tilam yang tidak lagi sesuai dipanggil empuk sambil melihat karenah anak-anaknya yang kadang-kadang mengeluh kerana terlalu lapar dan kadang-kadang diam kerana mahu menjaga perasaan si emak.
Begitulah di sebalik kisah isi rumah kayu yang atapnya berlubang-lubang itu. Ribut hujan melanda, tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Hanya mampu berharap dan terus berdoa agar Allah sentiasa merahmati hidup mereka. Syurga sedang menanti buat insan-insan yang tabah dan tidak banyak mengeluh.
Hidup mereka seperti kais pagi makan makan pagi, kais petang makan petang. Erti kesyukuran sudah sebati dalam hidup mereka. Tidak mengerti erti membazir kerana setiap rezeki yang mereka dapat, mereka guna dengan betul dan tidak membazir.
Engkaulah manusia yang telah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya
Tahukah engkau manusia
Aku di sini serba kekurangan
Menanti bantuan yang tiada hadir
Sudahku memohon bertahun-bertahun tiada jawapan
Engkau sibuk dengan urusan engkau
Engkau lupa aku di sini bagaikan menanti hari-hari kematian
Menunggu esok yang entah ribut atau pelangi yang muncul
Semoga engkau sedar
Aku di sini berharap engkau akan menjadi manusia yang adil
Adil untuk keseluruhan bawahan yang engkau miliki
Jika tidak amanah dengan bawahanmu
Jagalah amanah dengan Penciptamu Allah
Agar di sana tempat tempat kau beristirahat
Bukan lagi tempat dipersoalkan…
*Menangis sambil menaip kisah ni (T_T)… Semoga kita merasa apa yang mereka rasa. Kitalah saudara seislam. Semoga kebenaran akan muncul bersama-sama manusia yang amanah dengan menjaga hubungan dengan Allah.
~Semoga mengalir apa yang baik-baik saja~
TravelogTinta_4:04pm