ORANG YANG HARAM DIKAHWINI

Image

Terbahagi kepada 2 iaitu:

  1. PENGHARAMAN SELAMA-LAMANYA

(a) Pengharaman disebabkan senasab (kerabat sedarah)

(b) Pengharaman disebabkan persemendaan (al-Musaharah)

(c) Pengharaman disebabkan penyusuan (al-Rida’ah)

2. PENGHARAMAN SEMENTARA

(a) Dua orang perempuan bersaudara

(b) perempuan yang bersuami

(c) Perempuan musyrikah

  1.  PENGHARAMAN SELAMA-LAMANYA

A. Pengharaman disebabkan senasab (kerabat  sedarah)

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَات

الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu, dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan…”

SURAH AN-NISA’:23

 

 

(a)                 Perempuan-perempuan yang menjadi furu’nya hingga ke bawah, iaitu anak perempuannya, cucu-cucunya sama ada daripada anak lelakinya atau anak perempuannya, cicitnya-cicitnya, dan seterusnya hingga ke bawah yang berhubung dengannya.

 

(b)                 Perempuan-perempuan yang menjadi asalnya hingga ke atas iaitu emaknya, datuk perempuannya sama ada datuk sebelah pihak bapa atau emaknya, dan perempuan-perempuan yang seterusnya yang menjadi asalnya keturunannya.

 

(c)                 Perempuan-perempuan yang menjadi furu’ bagi ibu bapanya hingga ke bawah iaitu saudara-saudara perempuannya sama ada yang seibu bapa, atau sebapa atau seibu dan furu’ saudara lelaki yang saudara perempuannya. Iaitu sekalian saudara perempuannya, dan anak-anak saudaranya dan furu’ daripada mereka.

 

 

(d)                 Perempuan-perempuan yang menjadi furu’ bagi datuk lelaki dan datuk perempuan apabila mereka terpisah dengan satu darjat iaitu sekalian ibu saudaranya sama ada sebelah bapa atau ibu, semuanya diharamkan. Walau bagaimana sekalipun, darjat datuk lelaki dan perempuan itu. Oleh sebab itu furu’ bagi datuk lelaki atau datuk perempuan yang selepas satu darjat adalah halal dinikahi, seperti anak-anak perempuan saudara bapa saudara sama ada sebelah bapa atau ibu dan anak-anak perempuan ibu saudara sama ada sebelah bapa atau ibu, yakni sepupu-sepupunya dan seterusnya hingga ke bawah.

B. Pengharaman disebabkan persemendaan (al-Musaharah)

 

 

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

“dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…”

SURAH AN-NISA’:23

 

(a)  Anak perempuan isteri iaitu anak tiri kepada lelaki, termasuk juga cucu tirinya sama ada daripada sebelah anak tiri perempuannya atau anak tiri lelakinya hingga ke bawah. Syarat keharaman dengan anak tiri itu bergantung pada persetubuhan dengan isterinya iaitu walaupun isterinya sudah dinikahi tetapi tidak disetubuhi oleh lelaki itu sehinggalah isterinya diceraikan, maka tidak diharamkan pernikahannya dengan anak tirinya selepas penceraian itu. Sekiranya isterinya iaitu emak kepada anak tirinya itu telah disetubuhi haramlah pernikahan dengan anak tirinya.

 

(b) Ibu isteri yakni ibu mentuanya, merangkumi juga datuk perempuannya dan seterusnya hingga ke atas, sama ada sebelah ibu mentuanya atau bapa mentuanya, sama ada yang mempunyai hubungan nasab atau susuan dengan isterinya. Apabila sah akad nikahnya, sama ada lelaki itu menyetubuhi isterinya atau tidak maka kesemua mereka menjadi muhrim kepadanya. Yakni jika dia menceraikan isterinya, walaupun belum disetubuhi, sama ada cerai hidup atau cerai mati, diharamkan lelaki itu mengahwini bekas ibu mertuanya. Oleh sebab itu fuqaha’ mengatakan “akad ke atas anak, diharamkan ibunya”. Tetapi sekiranya akad itu fasid yakni tidak sah pada syara’, dan isterinya belum disetubuhi, tidak haram baginya berkahwin dengan bekas mentuanya. Sekiranya isterinya telah disetubuhi haram berkahwin dengannya.

 

(c) Isteri bapa yakni ibu tiri, demikian juga isteri datuk yakni datuk tiri dan seterusnya yang ke atas sama ada ibu tiri itu disetubuhi oleh bapa tau tidak.

(d) Isteri anak lelaki (menantu perempuan), isteri kepada cucu dan seterusnya yang ke bawah, sama ada anaknya itu anak salbi (anak kandung) atau anak susuan, sama ada perempuan itu telah disetubuhi atau tidak, setelah bercerai dengan suaminya sama ada dengan sebab dicerai talak atau kematian, maka haram bagi bapa, datuk dan seterusnya yang ke atas mengahwininya.

C. Pengharaman disebabkan penyusuan (al-Rida’ah)

 

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ

“dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu…”

SURAH AN-NISA’:23

 

BAHAGIAN PERTAMA:

(a)     Usul susuan iaitu perempuan yang menyusukannya (ibu susuan) dan ibu kepada ibu susuannya dan seterusnya yang ke atas. Oleh yang demikian diharamkan juga seseorang perempuan berkahwin dengan bapa susuannya atau datuk susuannya sama ada dari pihak ibunya atau bapanya dan seterusnya datuknya yang ke atas.

 

(b)     Furu’ susuan, iaitu anak susuan dan anak cucu yang lahir daripada anak susuannya itu.

 

 

(c)     Furu’ daripada ibu bapa susuan, iaitu saudara susuan dan anak cucu yang lahir daripada saudara susuannya itu.

 

(d) Anak datuk susuan, sama ada datuk lelaki atau perempuan, iaitu ibu saudara susuan sama ada sebelah bapa atau ibu kandungnya, atau ibu saudara kepada ibu bapa susuannya. Oleh sebab itu tidak diharamkan berkahwin dengan sepupu susuan.

 

BAHAGIAN KEDUA:

(a)                 Usul susuan isteri. Iaitu ibu susuannya, datuk susuannya dan seterusnya yang ke atas.

 

(b)                 Furu’ susuan isteri jika suami telah bersetubuh dengannya, iaitu anak susuan isterinya dan cucu susuanya. Misalnya, seorang lelaki mempunyai isteri yang pernah menyusui seorang kanak-kanak perempuan pada masa dia menjadi isteri kepada seorang lelaki lain sebelum berkahwin dengan suaminya sekarang. Maka kanak-kanak perempuan itu menjadi anak susuan isterinya. Apabila suaminya yang kedua ini bersetubuh dengannya, maka diharamkan dia berkahwin dengan anak itu dan anak cucu yang lahir daripadanya.

 

 

(c)                 Isteri bapa susuannya iaitu selain ibu susuannya. Apabila seorang lelaki (A), pada masa kecilnya telah disusui oleh isteri seorang lelaki lain (B);lelaki (B) iaitu bapa susuannya itu pula mempunyai lebih daripada seorang isteri, maka lelaki (A) tidak boleh mengahwini isteri-isteri bapa susuannya yang telah diceraikan walaupun mereka tidak menyusuinya.

 

(d)                 Isteri furu’ susuannya iaitu isteri susuannya, anak susuannya atau cucu susuannya dan seterusnya yang ke bawah. Misalnya, apabila seorang kanak-kanak disusui oleh isteri seorang lelaki, maka anak itu menjadi anak susuan lelaki tersebut. Maka diharamkan ke atas lelaki itu mengahwini isteri anak susuannya ini.

 

 

(e)                 Haram berkahwin dengan dua orang perempuan yang bersaudara susuan pada satu masa.

 

 

  1. PENGHARAMAN SEMENTARA

A.Dua orang perempuan bersaudara

وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

“Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.”

SURAH AN-NISA’:23

 

(a)                 Diharamkan seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan saudaranya (dua beradik perempuan) secara dihimpun sama ada hubungan persaudaraannya itu dari segi (penyusuan) atau keturunan senasib (kerabat sedarah).

 

وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

“Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.”

SURAH  AN-NISA’:24

B. Perempuan yang bersuami

(b)                 Tiap-tiap perempuan yang masih dalam ‘ismah (kuasa peliharaan) orang lain iaitu isteri orang haram dikahwini oleh mana-mana lelaki selain suaminya.

DIKECUALIKAN perempuan yang dimiliki dengan cara yamin (يمين) yakni perempuan yang bersuami yang ditawan dalam peperangan tetapi dia ditawan tanpa suaminya oleh sebab berlainan negeri iaitu negeri Harbi (negeri kafir) dan negeri Islam, dan dibolehkan berkahwin dengannya kerana telah terjadi perpisahan di antaranya dengan suami yang mendiami negeri Harbi itu.

 

 

وَلَا تَنْكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.”

SURAH AL-BAQARAH:221

C. Perempuan musyrikah

(c)                 Diharamkan ke atas orang lelaki Muslim mengahwini perempuan musyrikah yang bukan daripada golongan ahli kitab.

 

SUMBER RUJUKAN: Asas Kekeluargaan Islam Bahasan Empat Mazhab: Syafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.Hassan Salleh.Cetakan kedua 1992.DBP Kuala Lumpur.

Andai tersalah taip, tegur…. Syukran ^_^

TravelogTinta_1:22am

2 thoughts on “ORANG YANG HARAM DIKAHWINI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s