SEPENCARIAN CINTA HAKIKI

Image

“Assalamu’alaikum warahmatullah.” Lafaz salam dari Hafiz Hadi setelah selesai mengimamkan solat fardhu isyak bersama isterinya Ahlam Anan. Tidak sangka pertemuan di salah sebuah sekolah semasa zaman SPM akhirnya membawa mereka sehingga ke jinjang mahligai syurga.

“Emh, emh, salah tu Ahlam! Kena panjangkan lagi harakat tu.” Menegur Hadi dengan nada mahu mengacau.

“Oh, salah ea?” Dengan muka selamba Ahlam mengulang kembali ayat surah tersebut.

Hadi merasakan hari-hari terakhir isterinya perlu diisi dengan madah-madah indah sahaja.  Walaupun tidak sampai setahun alam rumah tangga mereka, mereka tetap bahagia seperti insan-insan lain yang punya cinta yang dimiliki untuk disebarkan kepada manusia lain. Sudah berapa kali Ahlam meyakinkan Hadi agar tidak memilihnya untuk dijadikan sahabat seperjuangan hayat hidupnya kerana Ahlam menghidap kanser saraf tulang. Kadang-kadang sakit mendatang, kadang-kadang tidak. Tiada siapa yang meminta datangnya sakit, semuanya telah tertulis. Bukankah itu tanda Allah kasih? Alamat untuk lebih kembali kepada Allah dan sebagai penghapus debu-debu dosa dahulu. Hadi juga tidak tahu mengapa dia menyunting Ahlam untuk menjadi suri hidupnya. Tak terungkap dari bibir Hadi sendiri apabila Ahlam bertanya.

“Ahlam minta maaf kerana selalu menyusahkan abang. Tadi pun Ahlam tak mampu nak berdiri semasa solat. Mampu duduk sahaja. Tadi pun Ahlam banyak salah tajwid. Mesti abang dah bosan dengan kesalahan Ahlam sahaja.”

Berceloteh Ahlam dengan nada sedih kerana merasakan salah yang sangat kepada suaminya itu. Dia juga merasakan hidupnya adalah bonus dari Allah kerana menghadirkan seorang insan yang telah mampat 30 juzuk dalam kepalanya. Boleh juga dia merujuk tajwid dan ilmu al-Quran kepada suaminya sekali sekala.

“Eh, Anan selalu cakap macam tu!” Mana mungkin abang bosan. Setiap kali abang salah bagi pendapat dalam bab hukum, Anan juga yang membetulkan. Terima Kasih Ahlam Anan.” Senyum Hadi dengan manja memanggil isterinya Anan.

*****

Keheningan pagi dimakan oleh hujan renyai-renyai pada pagi itu. Mujur pagi itu hujung minggu. Boleh saja Hadi dan Ahlam duduk beristirehat di rumah sahaja menghabiskan waktu berdua.

Semasa awal perkenalan mereka melalui seorang sahabat Hadi yang mana kawan sekampung Ahlam juga. Batas pergaulan memang dijaga. Sehinggalah Ahlam berjaya menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda di salah sebuah universiti tempatan. Manakala Hafiz Hadi berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma di salah sebuah kolej swasta tempatan pengkhususan al-Quran dan as-Sunnah. Sememangnya mahu menyambung ke Timur Tengah, memandangkan keadaan kewangan keluarganya tidak mampu setelah pemergian ayah tercinta, terkubur begitu sahaja impiannya.

Yang membuatkan Ahlam senang dengan Hadi adalah kerana sifatnya yang sangat hormat kepada ibunya yang menjaganya selama ini. Malah kuat berdikari sendiri. Dalam usia 20 tahun, sudah memiliki sebuah kereta dan sebuah motorsikal berkuasa besar. Bukan itu yang dipandang Ahlam, tetapi akhlaknya yang tinggi itu. Dalam usia 24 tahun, Hadi telah membeli sebuah rumah berdekatan dengan rumah ibunya agar mudah untuk menjenguk ibunya apabila dia sudah berkahwin nanti.

*****

Tidak sangka jatuhnya Ahlam dalam permainan bola baling pada hari itu membawa kepada kepatahan tulang belakangnya. Ahlam sememangnya seorang yang suka aktiviti lasak. Dia mudah bosan dengan aktiviti yang statik. Setelah beberapa bulan, pada hari yang tidak disangka-sangka oleh semua orang, Ahlam telah terlibat dengan sebuah kemalangan yang menyebabkan tulangnya yang patah sedikit pada mulanya membawa kepada kanser saraf tulang belakang. Ahlam reda dengan ketentuan dari Allah. Mencorak senyuman dari bibirnya yang  menyebabkan dia kuat untuk beri kebahagian kepada orang lain juga. Dia bukan seorang yang mudah putus asa. Selagi Allah beri kesempatan hidup,dia akan berusaha mengisinya dengan syariat yang betul.

Sebab itu dia berusaha meyakinkan Hadi agar tidak memilihnya kerana sakitnya itu akan menyusahkan Hadi nanti. Angkat barang berat mesti dielakkan kalau boleh. Jika sakit datang, Ahlam hanya mampu bertahan dan sapu ubat yang diberikan oleh doktor. Sekali sekala sahaja Ahlam akan mengambil ubat penahan sakit jika tersangat perlu kerana pengambilan ubat penahan sakit akan membawa kesan masa jangka panjang kepada tubuhnya.  Hadi tetap juga dengan pendiriannya untuk memilih Ahlam Anan juga.

“Sakit ya? Biar abang masak tengah hari ni. Ahlam baring berehat dulu. Nanti abang kejut.” Kata Hadi. Bertuah sungguh Ahlam mendapat Hafiz Hadi dalam hidupnya. Prinsipnya tegas tetapi hatinya lembut seperti kapas yang memutih.

*****

“Terima kasih abang kerana sudi menerima pahala menjaga orang sakit ni. Ternyata abanglah orangnya yang layak untuk menerima ganjaran pahala menjaga orang sakit ini.” Senyum Ahlam dengan muka yang agak lesu.

“Sama-sama Ahlam. Terima kasih kerana sudi menerima abang yang banyak mengajar abang erti hidup. Dulu abang tak minat bidang penulisan. Setelah Ahlam hadir, Ahlam yang banyak memberi tunjuk ajar agar rajin membaca dan selepas itu menulis. Kasih sayang abang kepada Ahlam hanya Allah sahaja yang tahu. Jangan pernah tanya ye Ahlam kerana abang tak mampu untuk mengungkapnya.” Berlinangan air mata Hadi sambil menemani isteri tercinta di sisi katil yang menanti saat dijemput Ilahi sahaja.

“Ahlam tak mampu untuk beri zuriat kepada abang memandangkan keadaan Ahlam yang tak mampu untuk menampung 9 bulan itu. Semoga penulisan Ahlam sahaja yang menjadi zuriat Islam seterusnya.” Mengalir laju sahaja air matanya berlinangan sambil memandang Hadi.

Hafiz Hadi memang seorang yang baik. Setelah mendapat nasihat doktor bahawa Ahlam boleh mengandung tetapi keadaannya yang tidak menentu kesihatannya yang boleh menyusahkan Ahlam nanti semasa pembawaan bayi, Hadi akur dengan ketentuan Allah. Sememangnya hidup ini perlu banyak memberi bukannya menerima sahaja. Allah menghadirkan orang yang sakit dalam hidup seseorang itu untuk menambah pahalanya kerana sanggup menjaga orang sakit.

Akhirnya hembusan nafas terakhir Ahlam bertitik nokhtah. Menangis teresak-esak Hadi sambil dipandang oleh  ibunya dan ibu Ahlam. Terngiang-ngiang dalam fikirannya nasihat dari Ahlam untuknya bahawa dalam hidup ini, jika tak mampu memberi, mampukanlah juga untuk senyum. Kerana senyuman itu nanti akan muncul pemberian yang tidak ternilai harganya.

Image

Allah telah  berfirman dalam surah al-Hajj:78

“Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.”

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

 TravelogTinta@1:02am

2 thoughts on “SEPENCARIAN CINTA HAKIKI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s